Isnin, 27 April 2020
FB Live myHarapan
Sebuah perbincangan telah dijalankan untuk mengetahui cara pemasaran masa kini dan hal lainnya bagi Perniagaan Sosial dan CSO terutamanya ketika pandemik Covid-19 melanda dunia.
Sewaktu sesi secara langsung tersebut, panelis yang hadir ialah:

Herliana Se dari Kopkun Indonesia
- Shelvy Dwi Citra, Digital Content – Social Media Marketing, Buytodonate Store
- Wildanshah, Pesuruhjaya Persatuan Warga Muda
- Herliana Se, Pengerusi Koperasi Kopkun (moderator)
Antara intipati perbincangan satu setengah jam tersebut adalah seperti berikut:-
Soalan 1
Apakah kekuatan utama dari segi pemasaran yang diperlukan untuk kekal kukuh
Wildanshah:
“Anda haruslah memiliki jenama yang boleh diterima oleh orang ramai serta membangunkan jenama tersebut. Ramai yang lebih mengutamakan program daripada jenama yayasan/NGO/CSO/PS mereka sendiri walhal ianya sebenarnya penting. Ia adalah supaya orang boleh terus mengenal tujuan serta kerja yang dilakukan dan membuat orang ramai lebih mudah membantu dan menyumbang kepada yayasan tersebut. – Wildanshah
Terdapat tiga peringkat untuk membina jenama
i. Segmen yang mahu difokuskan apa dan siapa
Contohnya: Belia – terdapat banyak juga pecahan segmen di bawah belia. Sebagai contoh belia bandar, belia luar bandar dan sebagainya.
ii. Apakah yang membezakan anda dengan organisasi lain.
Hampir semua NGO/CSO/PS mungkin akan memiliki tujuan yang hampir sama. Oleh itu cari bagaimana untuk membezakan anda dengan orang lain.
Contohnya: Air mineral – minuman yang lebih sihat dan berteknologi tinggi atau air minuman yang lebih manis dan sebagainya.
iii. Mencari kedudukan pertubuhan
Ini adalah untuk program kehadapan serta visi, misi, tujuan sesuatu pertubuhan itu supaya lebih mudah mencapai sasaran dan melibatkan orang ramai.
Tiga perkara lain yang perlu difikirkan
i. Menjenama pemimpin/tokoh/orang – kerana orang awam lebih mudah menerima dengan orang/personal berbanding logo.
Contohnya: Bill Gates di Microsoft, Steve Jobs dari Apple.
ii. Jenama program
Fokuskan sesuatu program khas yang menjadi ciri khas pertubuhan tersebut.
iii. Jenama lembaga/syarikat
Perlu ada jenama yang bagus bagi memberi persepsi yang baik dan dipercayai oleh orang ramai.
______________________________________________________________________________________________________________________________________
Soalan 2
Bagaimana Imej Pertubuhan Untuk Tampil Hebat di Media Sosial
Shelvy:
Oleh sebab NGO/yayasan tidak menjual produk atau perkhidmatan, semestinya jenama sesuatu pertubuhan itu adalah penting. Dengan itu sesuatu pertubuhan harus tahu tujuan mereka, manfaat apa yang perlu dikongsikan dan bagaimana orang ramai boleh menyumbang kepada pertubuhan tersebut. Antara prinsip kunci pemasaran media sosial ialah memahami ‘mindset‘ pengisian atau ‘content‘. Jika tidak ada pengisian, pemasaran media sosial tidak akan berjalan. – Shelvy
Pengisian seperti apa?
- Pengisian itu haruslah bermanfaat dan perkara yang dikongsikan itu dicari orang ramai.
- Pengisian perlu boleh mencapai atau membolehkan pengguna atau benefisiari rasa ingin terlibat.
Mengapa pengisian itu adalah senjata utama di media sosial?
- Kerana ia boleh membina hubungan di antara dua pihak tidak kira orang awam, pemberi dana dan sebagainya.
- Menjadi pembuka jalan bagi pertubuhan untuk menyebarkan informasi jenama berbanding langsung memwar-warkan orang ramai untuk membeli perkhidmatan yang dilakukan atau menjadi rakan kongsi anda pada satu masa akan datang.
3 tips asas untuk pemasaran media sosial
- Media sosial sesuatu pertubuhan haruslah konsisten. Jika sesebuah pertubuhan tidak konsisten memaparkan apa yang telah mereka lakukan atau ditawarkan sukar untuk membina perasaan kebolehpercayaan dengan orang ramai.
- Luangkan masa dan belajar fungsi yang ada pada media sosial
- Jangan lupa untuk menganalisis kembali pencapaian yang dilakukan melalui media sosial.
Bagaimana sesebuah pertubuhan lebih menampilkan diri di media sosial.
i. Membina asas
- Ketahui siapa ‘audience’ atau siapa yang berminat dengan pertubuhan anda.
- Tetapkan sasaran berapa pengikut yang diinginkan, pencapaian yang diinginkan dan sebagainya. Contohnya: usia, tinggal di mana, siapa mereka, latar belakangnya apa, minatnya apa.
ii. Memiliki orang yang khusus di bahagian ini (sekurang-kurangnya dua orang)
- Sekurang-kurangnya mempunyai penulis pengisian laman dan media sosial, pereka grafik dan editor. Ini kerana apabila meletakkan sesuatu di media sosial, harus ada interaksi.
iii. Kualiti pengisian (content)
- Harus konsisten dan memiliki rancangan tersendiri. Ianya penting dan melalui persetujuan bersama – ‘posting’ di media sosial dilakukan berapa kali seminggu/sehari.
- Selalunya NGO akan letakkan posting hanya apabila terdapat sesuatu ‘event’ dan ianya dilakukan secara impulsif. Walhal jika terdapat perancangan yang awal ia akan menjadi lebih baik.
- Jangan lupa melihat kembali sejauh mana orang suka dengan pengisian yang dikongsikan di media sosial.
______________________________________________________________________________________________________________________________________
Soalan 3
Jika NGO/CSO kekurangan pekerja apa yang perlu dilakukan?
Wildanshah:

Contoh aplikasi photoeditor percuma. Sumber Imej: Google
Menguruskan media sosial bukan perkara yang mudah dan remeh dan harus dilakukan oleh orang yang memiliki kepakaran.
Namun, jika tidak ada peruntukan untuk mengambil pereka grafik untuk pengisian media sosial, boleh cuba gunakan aplikasi yang mudah dan percuma.
NGO/CSO harus mengubah paradigma kerana selalu menganggap membangun jenama sendiri merupakan beban kos operasi yang perlu dikeluarkan. Ramai yang menunggu NGO/CSO lebih banyak dana atau lebih hebat baru dilakukan pelaburan. Walhal, jenama itu adalah satu pelaburan.
Oleh itu jenama yang hebat ialah mereka yang melaburkan jenama sehingga menjadi bagus dan dikenali ramai sekaligus lebih banyak manfaat akan kembali ke NGO/CSO tersebut.
______________________________________________________________________________________________________________________________________
Soalan 4
Apakah yang dimaksudkan dengan konsistensi, apakah pengisian yang menarik dan berapa kali perlu memuat naik ‘posting’?
Shelvy:
1. Bina jadual untuk meletakkan content di media sosial perlu ada
2. Tentukan berapa banyak posting yang mahu diletakkan dalam satu waktu
3. Konsisten dalam penampilan – warna atau pesanan yang disampaikan (selaras dengan misi visi CSO/NGO)

Sumber Imej: naomidsaoza.com
4. Tidak ada angka yang tepat berapa yang perlu dimasukkan dalam waktu sehari tetapi anda harus mencuba sendiri.
Contohnya seminggu tiga kali, lihat semula bagaimana maklum balas pengikut di media sosial.
5. Cuba gunakan ‘feature’ yang ada di media sosial dengan sebaiknya.

Contohnya di instagram, instastory dilihat lebih ramai yang cenderung melihatnya berbanding ‘timeline’/ ‘feed’ yang perlu di’scroll’. Sumber Imej: So Buzzy
6. Rajin analisis pengisian yang diletak setiap dua minggu atau 30 hari sekali untuk tahu maklum balas pengikut.
7. Konsisten untuk menampilkan misi sesuatu CSO/NGO serta apa yang sudah dikerjakan.
Contohnya: beritahu pencapaian yang telah dilakukan oleh CSO/NGO.
8. Untuk CSO/NGO baru hendak bermula, untuk 3-6 bulan pertama, kongsikan pengisian tentang identiti CSO/NGO tersebut.
Contohnya: aktiviti yang dijalankan, siapa mereka, dan cuba perbaiki profil CSO/NGO/PS seperti logo, alamat, siapa yang perlu dihubungi.

Sumber Imej: https://www.facebook.com/pg/buytodonate/about
9. Setelah 6 bulan perkenalan, baru kongsikan apakah yang mahu ditawarkan kepada orang ramai/pengikut dan apa yang mereka boleh sumbang kepada CSO/NGO anda.
10. Cari titik pertemuan di antara kemahuan pengikut anda serta jawapan yang anda boleh bantu atau berikan kepada mereka.
11. Bersosial dengan kunjung akaun media sosial orang lain serta komen untuk berinteraksi dengan CSO/NGO yang lain supaya di masa depan boleh terjadi kerjasama yang lebih baik.
______________________________________________________________________________________________________________________________________
Soalan 5
Media sosial mana yang efektif untuk bermula?
Shelvy:
Kalau sekarang mengikut trend, golongan millenia akan lebih ke arah Instagram tetapi yang bertahan dari dulu sampai sekarang ialah Facebook.
Namun untuk CSO/NGO yang baru hendak bermula, ia adalah bagus di Facebook kerana di Facebook tidak perlu letakkan ‘posting’ bergambar dan sasaran umur lebih luas.
Walau bagaimanapun, ia juga bergantung kepada tujuan CSO/NGO itu sendiri dan jangan takut untuk mencuba kerana sudah pasti anda akan lambat-laun memperbaiki diri dan belajar.
______________________________________________________________________________________________________________________________________
Soalan 6
Tips Membangun Imej Jenama

Sumber Imej: https://wargamuda.com/youth-studies/anak-muda-bhineka-tunggal-ika/
Wildanshah:
1. Bayangkan jenama seperti seseorang – logo dan penampilan.
2. Tampilkan personaliti jenama secara spesifik.
Contohnya jika pengikut anda ke arah lebih beragama, penampilan atau content harus ke arah itu.
3. Konsistensi ini harus ada supaya ‘admin’ yang menjaga media sosial anda memiliki garis panduan penggunaan kata. Contohnya’ “saya, anda” atau “sis, bro” dan sebagainya.
4. Era sudah berubah dan orang ramai lebih gemarkan membaca atau mendengar cerita disebalik sesuatu kejayaan dan sebagainya. Pendekatan emosional atau empati lebih mudah menarik perhatian.
______________________________________________________________________________________________________________________________________
Soalan 7
Jika pencapaian tidak berhasil di sesebuah platform media sosial, apakah yang perlu dilakukan? 
Shelvy:
Lakukan analisis terlebih dahulu dan jangan cepat memutuskan bahawa anda gagal.
Anda perlu ketahui sebab mengapa terjadinya hal tersebut. Contohnya: “target audience” tidak tepat.
______________________________________________________________________________________________________________________________________
Soalan 8
Untuk CSO/NGO baharu adalah perlu untuk lakukan pengiklanan (FbAds)?
Shelvy:
Fb Ads atau Instgram Ads boleh dilakukan setelah branding atau jenama dibina terlebih dahulu.
Ini adalah kerana setelah iklan muncul di akaun orang lain dan mereka lihat profil anda, jika tidak ada sebarang penampilan atau tidak ada indikasi siapa anda, ia akan memberi imej yang tidak jelas.
______________________________________________________________________________________________________________________________________
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang tips pemasaran untuk Yayasan/NGO/CSO ataupun Perniagaan Sosial (PS) seperti kata kunci penting untuk membangun jenama di media sosial dan bagaimana menyeimbangkan tokoh yang ditampilkan dalam sesebuah organisasi dengan jenama organisasi tersebut, anda boleh tonton kembali FbLive tersebut di sini.